Tentunya Tok Mat menuntut komitmen dan kerjasama wakil-wakil rakyat UMNO terutama ahli-ahli Parlimen yang masih berbaki 38 orang.

Awang pernah bertanyakan beliau apakah UMNO akan cepat dibangunkan semula.

Jawabnya: “Satu saja syaratnya. Nampakkan sikap dan sifat kita yang jujur dan UMNO tidak harus ‘tersangkut kaki’ dengan pemimpin-pemimpin yang ada isu kerana rakyat amat peka dan kini subscribe pada soal-soal good governance, integriti dan ketelusan. Ini yang akan menarik minat orang muda.

Kata beliau lagi, UMNO usah bimbang dengan orang muda. Apa yang mereka nampak depan mata, dia akan ikut. Anak-anak muda sekarang tidak akan kekal pada satu jenama sahaja, boleh berubah.

“Kita tidak perlu takut dengan orang muda yang ada maklumat terkini. Mereka benci rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Kalau UMNO boleh bebas daripada gejala ini, saya tidak nampak orang muda tidak akan kembali sokong UMNO.”

UMNO pada pengamatan Awang, mesti pandai bawa isu. Pokoknya, mesti bebas daripada sebarang skandal. Kalau usaha lebih lagi dibuat, perjuangkan suara rakyat.

UMNO adalah teras orang Melayu. Kadang-kala seseorang itu lupa sehinggakan kepentingan parti dibelakangkan.

Kata orang Negeri Sembilan, “jenjang dinaiki, tangga dituruni. Duduk atas jenjang, jangan lupa tangga kerana tangga itulah yang membawa kita naik. Tapi banyak duduk atas jenjang sampai lupa turun padang”.

Lupa dia naik dulu sebab parti yang julang dia. Bila ada jawatan, lupa parti sampaikan nak selamatkan diri sendiri hingga lompat parti.

AWANG - Bersatu Bersetia Berkhidmat.