Ketika ini hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009) masih belum menakutkan pemberi atau penerima.

Justeru cadangan SPRM supaya kerajaan melakukan kajian terperinci untuk melaksanakan hukuman sebatan terhadap pesalah rasuah perlu dipertimbangkan.

Cadangan ini bukanlah baharu. Forum Antirasuah Perkasa pada 2017 pernah menyarankan supaya dikenakan hukuman mandatori rotan dan penjara seumur hidup.

Kaedah pelaksanaan hukuman sebat boleh diperhalusi supaya tidak dipertikai atau dipandang sinis ketika sebatan melibatkan pasangan lesbian baru-baru ini.

Sama seperti dadah, rasuah juga adalah musuh nombor satu negara. Kedua-duanya boleh menjadi ibu kepada pelbagai jenayah yang boleh mengancam keselamatan malahan mampu meruntuhkan sesebuah bangsa dan negara.

Bagi membendung gejala ini, pendidikan antirasuah perlu dipertingkatkan dengan melibatkan pelbagai sektor dan peringkat umur. Setiap program antirasuah perlu disusuli dengan pemantauan yang berterusan supaya ia benar-benar berkesan.

Awang juga berharap, masyarakat dapat menghindari tindak tanduk yang menjurus kepada rasuah, contohnya pemberian hadiah. Tanpa disedari kita menyemai bibit-bibit rasuah ketika memberi wang atau material kepada kanak-kanak atas nama penghargaan.

AWANG – Perangi rasuah dan dadah.