Apakah hala tuju ekonomi negara selepas kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah selama lebih 60 tahun? Semalam, BN membentangkan belanjawan yang dinamakan Inisiatif Ekonomi Rakyat.

Banyak inisiatif yang dikemukakan termasuk bagi mengisi kelompongan pendapatan berikutan beberapa tindakan oleh kerajaan sekarang.

Semoga Belanjawan 2019 kerajaan PH melegakan rakyat. Pelbagai harapan disandarkan oleh rakyat sejak pilihan raya umum lalu. Walaupun kerajaan meminta rakyat melakukan sedikit pengorbanan, nasib golongan berpendapatan rendah termasuk miskin bandar dan penduduk di luar bandar tidak boleh diabaikan.

Tidak ada kompromi juga dalam bidang utama keperluan rakyat termasuk kesihatan, pendidikan dan perumahan. Inisiatif atau bantuan khas perlu diteruskan tetapi dengan pengawasan lebih rapi supaya golongan sasaran benar-benar mendapat manfaat.

Awang amat berharap, Belanjawan 2019 dapat membantu memperkukuh dan memperkembangkan ekonomi negara. Langkah-langkah untuk menarik pelaburan baharu perlu dipertingkatkan bagi mewujudkan peluang pekerjaan. Sebarang pengenalan cukai baharu bagi menambah pendapatan diharapkan tidak membebankan majoriti rakyat.

 

AWANG - Bayar cukai pendapatan.