Justeru, seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya golongan majikan memberi keutamaan kepada pekerja tempatan berbanding warga asing dalam mengisi kekosongan sebarang jawatan ketika menyampaikan amanat Hari Pekerja di Perhimpunan Hari Pekerja 2017 semalam seharusnya tidak dipandang ringan.

Sewajarnya, golongan majikan membuka peluang terlebih dahulu kepada pekerja tempatan untuk diambil bekerja dan tidak terus memberikan alasan bahawa rakyat kita mempunyai masalah sikap yang antara sering disebut-sebut tidak boleh kerja lebih masa, mahukan gaji yang tinggi dan tidak kekal lama.

Kita tidak mahu alasan seperti ini digunakan hanya untuk memudahkan majikan mengambil pekerja asing dalam mana-mana sektor kerana mereka boleh membayar pekerja asing dengan pendapatan yang rendah.

Awang percaya dengan pelaksanaan gaji minimum, ditambah dengan inisiatif-inisiatif yang menarik ditawarkan majikan akan memberi semangat kepada pekerja tempatan untuk bekerja keras dan tidak beralih bekerja di tempat lain. Benarkah rakyat tempatan terlalu memilih atau majikan negara ini yang tidak berlaku adil kepada mereka? Itu yang jadi persoalannya.

AWANG - Yakini pekerja tempatan.