Awang percaya kira-kira 50,000 pengundi kawasan itu sudah membuat pendirian calon yang mahu mereka pilih apabila melangkah masuk ke pusat-pusat mengundi yang akan dibuka dari pukul 8 pagi ini hingga 5.30 petang. Terserah kepada pengundi yang bijaksana.

Cuma Awang ingin mengingatkan ahli dan penyokong parti-parti bertanding supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan. Tidak perlu ada ungkapan provokasi, kata-kata kesat atau tohmahan terhadap penyokong parti pesaing.

Kepada pengundi, walaupun Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan cuaca di Semenyih cerah dari pagi hingga ke petang ini, datanglah awal ke pusat-pusat mengundi bagi mengelak kesesakan.

Ini kerana meskipun pengundi sudah beratur di pusat mengundi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menutup pintu saluran serta-merta tepat pukul 5.30 petang.

Awang berharap tanggungjawab mengundi akan dilaksanakan oleh mereka yang tersenarai dalam daftar pemilih dan diharap sasaran 70 peratus keluar mengundi di Semenyih tercapai.

Kepada calon yang menang nanti, laksanakanlah tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan oleh pengundi. Bantulah rakyat tanpa mengira warna kulit mahupun pegangan politik mereka.

Kepada yang kalah, terimalah dengan hati terbuka. Kalah-menang adalah adat perjuangan.

AWANG - Berdebar nanti malam ini.