Dalam usia 84 tahun, pasukan itu telah menggalas tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan untuk mempertahankan kedaulatan negara dengan penuh dedikasi. Keamanan dan kesejahte­raan yang dinikmati selama ini adalah hasil pengorbanan, jasa dan iltizam anggota pasukan itu sesuai dengan laungan keramat Gagah Setia.

TDM juga telah berkembang menjadi ketumbukan yang moden dan disegani. Sesuai dengan kehendak dan cabaran semasa, pasukan ini juga berupaya menangani sebarang ancaman senjata nuklear, biologi dan kimia (NBC).

Lebih meyakinkan apabila pasukan satu batalion itu telah mendapat pengiktirafan daripada pasukan pemeriksa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Pengiktirafan ini berdasarkan empat aspek yang diberi keutamaan iaitu kelengkapan, latihan, keanggotaan dan kemahiran.

Jelaslah pasukan tentera kita mampu beroperasi dalam suasana yang lebih mencabar pada masa hadapan termasuk ketika dicemari radioaktif, kimia dan sebagainya.

Awang percaya, tema sambutan tahun ini iaitu ‘Tentera Darat Satu Kerana Bersatu’ dapat diterapkan dalam setiap anggota pasukan supaya mereka dapat bertindak sebagai Angkatan Tentera Malaysia yang bersepadu untuk terus memastikan negara ini sentiasa berdaulat, aman dan tenteram serta bersedia menangani sebarang ancaman musuh.

Terima kasih kepada semua perajurit negara khususnya dalam TDM.

AWANG - Sentiasa kenang jasa tentera