Pakatan Harapan tidak lagi sependapat untuk menobatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Hanya PKR yang nampak bersungguh-sungguh sehinggakan terpaksa membuat gimik ‘memaksa’ pimpinan Pakatan Harapan menayangkan plakad Anwar PM-7 semasa kongres parti itu, 21 Mei lalu.

Lucunya Dr. Mahathir yang turut hadir dalam kongres itu tidak mengangkat plakad tersebut. Barangkali mencari helah, Dr. Mahathir dirakam sedang sibuk mengambil gambar menggunakan telefon bimbitnya.

Semalam ahli politik berumur 92 tahun ini memberikan jawapan yang lebih jelas. Dr. Mahathir menyatakan kesanggupan untuk menjawat semula jawatan Perdana Menteri.

Begitulah, semuanya menjadi tunggang-langgang. Anwar yang kini meringkuk di penjara dalam sekelip mata tidak lagi menjadi pilihan. Begitu juga isterinya, Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Apa yang berlaku sebenarnya hanya menunjukkan betapa tidak stabil dan tidak konsistennya pakatan pembangkang ini. Sekejap mereka berkawan, sekejap lagi mereka bermusuh. Sekejap si polan calon Perdana Menteri, sekejap dicalonkan pula orang lain.

AWANG – Menunggu episod politik seterusnya.