Lebih 135,000 murid tahun satu bagi negeri Kumpulan A memulakan sesi persekolahan semalam dan hari ini Kumpulan B.

Sebagai ‘orang baharu’ di sekolah, sudah tentu banyak ke­renah murid pada hari pertama. Bagaimanapun keadaan tidak seperti dahulu. Murid-murid semakin ‘berani’ dan cerdik. Diharapkan tidak timbul banyak masalah semasa sesi persekolahan kali ini supaya guru-guru lebih fokus di dalam kelas.

Kementerian Pendidikan melalui jabatan di semua peringkat sudah tentu melakukan persiapan sewajarnya sebelum sesi persekolahan bermula. Semoga tidak timbul isu kekurangan guru, bilik darjah, buku teks, beg berat dan sebagainya.

Kepada ibu bapa, berilah kerjasama kepada guru-guru yang sudah tentu sentiasa menunjukkan komitmen yang tinggi untuk mendidik anak-anak termasuk dalam soal disiplin.

Awang amat berharap, sebarang perkara berbangkit dapat diselesaikan melalui rundingan bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebelum bertindak lebih lanjut. Pastikan proses pengajaran dan pembelajaran tidak terjejas. Terima kasih cikgu.

AWANG – Terkenang hari pertama persekolahan.