Kalau mengikut Dzulkifli, SPRM mempunyai maklumat bahawa golongan tersebut sering bermain dengan mereka yang ada kepentingan, dalam bahasa mudah ada kaitan dengan tugas rasmi masing-masing.

Sebenarnya Awang sudah lama mendengar cerita tersebut. Bukan sahaja main golf malah ada majlis-majlis yang dianjurkan oleh sesetengah pengurusan tertinggi penjawat awam ditaja oleh pihak tertentu. Ini sekali gus boleh mendedahkan mereka kepada amalan rasuah dan salah guna kuasa.

Oleh itu Awang berharap penjawat awam terlibat ikutlah nasihat SPRM, hentikanlah aktiviti tersebut. Tidak perlu pun hendak pergi ke luar negara semata-mata mahu bermain golf kecuali mereka ada maksud lain.

Justeru demi menjaga integriti dan mengelak daripada berlaku amalan rasuah dalam kalangan penjawat awam, Awang menyokong apa juga tindakan SPRM dalam soal ini. Amaran sudah lama diberikan, cuma ada kalangan mereka yang masih berdegil, oleh itu sekarang adalah masanya untuk bertindak bagi memberi pengajaran kepada mereka yang terlibat supaya jangan melakukan pengkhianatan terhadap amanah yang diberikan.

AWANG – Tahu banyak cerita.