Begitu juga dalam kerajaan sekarang, hanya Tun Dr. Mahathir Mohamad yang berpengalaman mentadbir. Maka kita faham kecelaruan dan perbalahan yang berlaku melibatkan menteri dan dasar kerajaan sekarang adalah kerana kurangnya pengalaman.

Maka tidak menghairankan kenapa bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin entah kali ke berapa terpaksa menegur menteri lagi. Jika nasihat Daim sebelum ini agar berhenti menyalah kerajaan terdahulu pun tidak diendah, apakah teguran kali ini supaya menteri berhenti bergaduh secara terbuka akan diambil perhatian.

Bukan apa kini hampir sembilan bulan PH menjadi kerajaan, belum ada usaha signifikan untuk rakyat yang semakin terhimpit. Nasib baiklah ada Bantuan Sara Hidup Rakyat yang menggantikan BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia), yang disalin kulit oleh kerajaan PH.

Itupun Daim sudah merungut BR1M ibarat candu yang ditagih kebanyakan masyarakat Melayu. Kesian jadi Melayu, semuanya salah. Kalau begitu pak menteri silalah tunjuk contoh baik untuk menjadi pedoman rakyat.

Ikut nasihat Daim henti tuding jari kesalahan kerajaan terdahulu dan elak bergaduh sesama sendiri. Tapi janganlah menghina orang yang menerima bantuan sebagai penagih candu kerana ramai mereka benar-benar memerlukannya. Turun dan lihat dengan mata sendiri kesusahan dan penderitaan mereka ini.

AWANG : Insafi diri