Di sini, ramai orang luar berpeluang mencari rezeki. Sebagai tempat tumpuan, sudah tentu Kementerian Wilayah Persekutuan menghadapi pelbagai cabaran untuk memuaskan hati penduduk serta pengunjung atau para pelancong dari seluruh dunia.

Dalam hal ini kerajaan telah mengambil pelbagai langkah untuk kesejahteraan hidup warga Wilayah Persekutuan. Jaringan pengangkutan awam terutama di Kuala Lumpur dianggap yang terbaik. Bagaimanapun banyak lagi yang perlu diberi perhatian terutama berkaitan kos sara hidup dan perumahan awam.

Selain fokus kepada Kuala Lumpur dan Putrajaya, wilayah Labuan juga tidak seharusnya dipinggirkan. Alam sekitar yang masih baik, lokasi bersejarah, pulau dan pantai serta makanan laut membuka peluang yang lebih luas dalam industri pelancongan. Promosi perlu diperhebatkan dengan peruntukan yang sewajarnya.

Awang berharap, ketiga-tiga wilayah ini terus mencatatkan kejayaan cemerlang sesuai dengan slogannya Wilayah Ceria, Rakyat Sejahtera. Apa yang penting, warganya dapat mengekalkan semangat kerjasama dan perpaduan. Hargai kemudahan yang disediakan, elakkan vandalisme dan hormati undang-undang.

AWANG – Pejabat di KL, rumah di Selangor.