Biarlah pihak Mara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan. Apa yang penting ialah sebarang salah laku jika berlaku di mana-mana juga perlu disiasat. Dalam hal ini keputusan Majlis Mara adalah bertepatan dengan usaha membersihkan institusi itu selepas beberapa ‘keputusan’ yang dibuat menjadi bualan banyak pihak.

Kerajaan juga perlu telus untuk memerangi sebarang salah guna kuasa yang didakwa berlaku. Diharapkan siasatan yang sedang dilakukan dapat membersihkan institusi yang melibatkan kepentingan orang Melayu ini dan pada masa sama dapat mengembalikan keyakinan rakyat terhadap Mara.

Tindakan yang diambil juga sudah tentu bukan sahaja mengambil kira kepentingan Mara bahkan karier politik Annuar termasuk sebagai Ketua Penerangan UMNO Malaysia. Walaupun sedikit-sebanyak isu ini akan dikaitkan dengan UMNO tetapi lebih utama, ketelusan kerajaan untuk melakukan siasatan tanpa mengira kedudukannya dalam kerajaan atau parti politik.

Semoga siasatan ini tidak menjejaskan operasi Mara dalam meneruskan agendanya untuk kepentingan orang Melayu.

AWANG - Pernah ikuti kursus Mara.