Mengambil contoh dirinya yang mentaati pemimpin kerana mahu menjaga institusi kepemimpinan iaitu Presiden dan Perdana Menteri, beliau telah melalui perjuangan menjadi pengikut yang setia sebelum diangkat sebagai pemimpin.

Sesebuah institusi akan hancur jika pengikut tidak setia malahan berusaha untuk menjatuhkan pemimpin. Keadaan menjadi lebih parah apabila wujud musuh dalam selimut yang mengundang pengaruh luar untuk menyemarakkan lagi usaha menjatuhkan kepemimpinan negara.

Justeru dalam situasi yang amat mencabar pada hari ini, institusi UMNO dan kerajaan perlu diperkukuhkan dengan semangat kesetiaan lebih-lebih lagi dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Awang juga percaya ketaatan kepada pemimpin bukanlah secara membuta-tuli. Tegurlah mengikut adab dan budaya kita. Pada masa yang sama, pemimpin pula tidak seharusnya mensia-siakan ketaatan yang ditunjukkan, bukan sahaja oleh anggota parti tetapi mereka yang menjadi suara akar umbi.

Apa yang penting, institusi harus dipertahankan daripada dikuburkan oleh musuh sama ada yang berkepentingan peribadi atau politik.

AWANG – Ingat kempen Setia Bersama Rakyat