Namun pada pengamatan Awang, agak tidak harmoni atau kurang manis apabila ada pihak terlalu menguar-uarkan pucuk kepemimpinan negara akan bertukar dalam waktu terdekat.

Kain-kain pemidang dan sepanduk tertera “Selamat datang bakal Perdana Menteri kelapan” yang dipasang di tempat tertentu atau desakan agar disegerakan ‘peralihan’ dikhuatiri hanya mengganggu usaha kerajaan untuk melakukan pemulihan ekonomi.

Lagi pun, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri di sebalik keraguan sesetengah pihak, sekali lagi menegaskan pada Jun lalu bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan penggantinya. Malah, sebelum itu pun Dr. Mahathir menegaskan, tempoh dua tahun cukup untuknya ‘menyelesaikan masalah yang ditinggalkan’ individu terbabit.

Awang terpanggil mengingatkan hal ini kerana khuatir ‘keterujaan yang terlampau’ sehingga mahu teraju kerajaan segera mengosongkan kerusinya akan mewarnai kempen pilihan raya kecil Port Dickson tidak lama lagi. Kelak, akan ada pihak menangguk di air keruh dan leka mengadu-domba.

Awang berpegang pada kata-kata Anwar tempoh hari bahawa yang paling penting ketika ini adalah memberi sokongan terhadap kepemimpinan Dr. Mahathir.

Dan beliau yang beberapa kali mengungkapkan perkataan que sera sera (akur masa hadapan di luar kawalannya) juga pastinya tidak mahu dilihat sebagai pihak yang mahu menekan kerajaan yang baru ditubuhkan.

AWANG – Sabar, tunggu dan lihat.