Orang ramai dijanjikan dengan ‘sesuatu yang berkesan, menggunakan teknologi terkini dan tidak pernah dilakukan sebelum ini’. Itu yang dijanjikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang juga mencatat sejarah sebagai peserta.

Sesuatu yang ‘bakal menyuntik inspirasi dan terpahat di ingatan’ itu masih dirahsiakan. Khabarnya, tiada sesiapa termasuk 6,000 orang yang terlibat dalam persembahan dibenarkan memberitahu kepada umum tentang apa yang akan berlaku malam ini.

Mereka pun khabarnya tidak dibenarkan membawa telefon bimbit semasa sesi raptai.

Cubaan Awang merisik-risik kepada pegawai Sukan SEA pun tidak berhasil. Tiada siapa yang berani membocorkan rahsia ‘persembahan pembukaan Sukan SEA’ kali ini.

Awang jangkakan banyak kejutan yang berlaku. Selain kutipan pingat kontinjen Bangkit Bersama dijangka menepati sasaran 111 emas, Sukan SEA kali ini akan diingati kerana bersamaan ulang tahun ke-50 ASEAN dan kemerdekaan negara.

AWANG – Dah tempah tiket majlis penutupan 30 Ogos.