Dr. Mahathir menyedari realiti bahawa sokongan dua pertiga ahli Parlimen diperlukan bagi membolehkan ICERD dilaksanakan. Komposisi semasa ahli Dewan Rakyat jelas menyukarkan perkara itu dilakukan.

Sentimen semasa juga tidak menyebelahi kerajaan. Ada sebahagian penyokongnya sendiri tidak bersetuju dengan cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy. Ahli-ahli Parlimen pembangkang awal-awal lagi menentang. Rakyat kebanyakan juga sudah menunjukkan bantahan terbuka menerusi siri demonstrasi sejak beberapa minggu lagi.

Awang memahami kenapa Perdana Menteri tidak menyatakan komitmen untuk melaksanakan cadangan itu. Ini kerana isu berkenaan amat sensitif kepada kaum Melayu dan orang Islam di negara ini.

Awang berharap Waytha Morthy sudah mendapat mesej jelas daripada kenyataan Dr. Mahathir itu. Beliau perlu menghentikan serta-merta sebarang usaha dan provokasi berhubung isu ICERD. Pada masa yang sama kerajaan Pakatan Harapan perlu mengambil tindakan tegas ke atas pemimpin Hindraf itu kerana apa yang dilakukan jelas memporak-perandakan perpaduan kaum dan tidak sedikit pun mencerminkan beliau sebagai menteri yang memegang portfolio ‘perpaduan negara dan kesejahteraan sosial.’

Awang - Lega dan rasa bersyukur.