Apapun pemilihan kali ini amat penting untuk UMNO. Sama ada UMNO mampu bangkit semula atau tidak, ia bergantung kepada barisan kepemimpinan yang dipilih oleh ahli-ahli.

Oleh itu, Awang berharap ahli-ahli UMNO akan membuat keputusan tepat. Walaupun UMNO tidak lagi berkuasa bersama Barisan Nasional (BN) namun rakyat khususnya orang Melayu tetap memberi perhatian kepada pemilihan kali ini.

Justeru jangan ulangi perangai atau sikap lama yang boleh menimbulkan perasaan muak dalam kalangan rakyat. Bagaimanapun dalam keterujaan untuk bangkit semula UMNO sama sekali tidak boleh mengorbankan jati diri parti itu sebagai pejuang kepada orang Melayu dan agama Islam. Mungkin Awang bersetuju ada sedikit sebanyak perubahan yang perlu dilakukan dalam soal perdekatan untuk UMNO kembali berkuasa tetapi janganlah menggadaikan prinsip perjuangan bagi tujuan berkenaan.

Awang percaya, pemimpin dan ahli UMNO sudah banyak mendapat pengajaran akibat kekalahan pilihan raya umum lalu. Oleh itu jadikanlah pemilihan kali ini sebagai platform untuk UMNO bagaikan ‘dilahirkan semula’ dalam keadaan lebih mantap, apatah lagi dengan kedudukannya sebagai parti tunggal yang mempunyai kerusi terbanyak di Dewan Rakyat.

AWANG - Tukang lapor.