Mereka yang bertanya soalan atau menyertai perbahasan ada yang pernah menjadi menteri atau timbalan menteri. Pihak yang menjawab pula adalah muka-muka baharu yang sebelum ini pintar bertanya dan ‘menghidupkan’ suasana di Dewan Rakyat.

Di peringkat awal ini, suasana tidak banyak berubah malahan ada wakil rakyat yang diarah keluar Dewan. Kekecohan boleh dielak jika semua pihak menghormati peraturan mesyuarat. Begitu juga ketegasan dan kecekapan pengendali mesyuarat.

Memang sukar untuk mengubah sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan. Ini kali pertama Barisan Nasional (BN) menjadi pembangkang. Begitu juga sebalik­nya apabila mereka yang berada di pihak pembangkang sebelum ini menjadi kerajaan.

Jika itu acuan yang ditinggalkan, tidak ba­nyak perubahan boleh dilakukan dalam masa yang singkat. Justeru, pihak kerajaan perlu menyesuaikan diri dan tidak terbawa-bawa de­ngan pera­ngai lama, lebih-lebih lagi mereka yang menganggotai Kabinet.

Awang percaya, kebanyakan wakil rakyat sudah matang dan berpengalaman. Jangan jadikan Dewan Rakyat pentas membalas dendam. Jika apa yang dilakukan selama ini mempunyai kelemahan atau kekurangan, perbaikilah secara ikhlas. Jangan sekadar bercakap untuk perubahan tetapi diri sendiri tidak berubah.

AWANG – Tunggu giliran Nga Kor Ming.