Walaupun ada empat calon tetapi tumpuan sudah pasti kepada calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd. Noor dan calon Pakatan Harapan, M. Manogaran. Ia dianggap pertembungan `buku dengan ruas’. Pada masa sama, pelbagai analisis sudah dibuat berhubung peluang kedua-dua calon.

Awang berharap kempen berjalan secara bersih tanpa perlu ada suara-suara yang bleh ditafsirkan `berbaur ugutan’ seperti pembangunan akan terbantut jika pembangkang menang. Hujah sebelum ini membuatkan Awang tersenyum, dulu hujah seumpama itu akan menjadi sasaran kecaman mereka yang menjadi pembangkang.

Tetapi itulah politik. Ahli politik boleh berubah nada dan wajah mengikut kepentingan politik masing-masing. Bagaimanapun hak demokrasi perlu dihormati. Siapa yang dipilih itu adalah hak eksklusif pengundi.

Pilihan raya hanya sekadar memilih wakil rakyat untuk membela nasib rakyat di kawasan yang diwakili. Siapapun yang dipilih oleh rakyat harus dihormati.

Awang yakin dalam tempoh seminggu ini banyak lagi adegan politik akan dipertontonkan dan Awang juga percaya, momentum sokongan kepada calon tertentu sudah terserlah. Sama-samalah kita tunggu. Apa yang pasti, rakyat sudah sedar pentingnya sehelai kertas undi.

Awang - Tunggu hari mengundi.