Mungkin tidak semua mampu mematuhi amalan gaya hidup sihat tetapi sekurang-kurangnya tunjukkan bahawa mereka bukanlah perokok. Justeru sambutlah cabaran Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S Subramaniam supaya pegawai dan kakitangan di kementerian berkenaan berhenti merokok.

Jika tidak mampu, elok bertukar ke kementerian lain. Biarlah seluruh kakitangan Kementerian Kesihatan tanpa mengira pangkat menjadi insan yang tidak merokok. Mereka harus kelihatan serius dalam mendidik masyarakat mengenai bahaya rokok. Hayatilah budaya dan falsafah kementerian.

Tidak manis apabila ada yang terpaksa ‘mencuri’ waktu untuk merokok. Kadang-kadang di premis yang tertera larangan me­rokok masih ada yang degil dan lebih mendukacitakan apabila melibatkan kakitangan awam di kementerian itu sendiri.

Awang berharap, kakitangan Kementerian Kesihatan dapat dijadikan contoh kepada masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat. Jangan dilihat seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul atau cakap tidak serupa bikin. Mungkin lebih baik seluruh kakitangan awam tidak merokok. Selain doktor, golongan berpengaruh seperti guru/ustaz juga patut bebas daripada merokok.

AWANG – Tidak merokok.