Sebagai langkah segera, apa yang penting adalah bagi membolehkan bantuan kemanusiaan dihulurkan kepada masyarakat Rohingya tanpa sebarang sekatan. Cukuplah Myanmar berdolak-dalik dan membuat penafian mengenai isu ini. Apakah yang mahu disembunyikan? Jika tidak berlaku sebarang penindasan, kerajaan Myanmar tidak perlu takut untuk membenarkan bantuan masuk ke negara itu bagi mengelakkan krisis kemanusiaan berterusan.

Dalam hal ini juga, selain OIC yang dianggotai 57 negara, pera­nan negara anggota ASEAN sebagai rakan kepada Myanmar juga amat diharapkan. Begitu juga dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk turut campur tangan mendepani isu ini.

Awang percaya, atas nama kemanusiaan, PBB, OIC dan ASEAN dapat menunjukkan kesepakatan bagi menghentikan penindasan dan pencabulan hak asasi manusia terhadap penduduk minoriti ini yang terpaksa berhijrah merentasi sempadan.

Ini bukan soal campur tangan hal ehwal n sesebuah negara tetapi ia berkait rapat dengan isu kemanusiaan. Masyarakat antarabangsa tanpa mengira agama dan yang berpegang kepada prinsip kemanusiaan tidak sanggup lagi berpeluk tubuh melihat penindasan yang berterusan.

AWANG – Terima sumbangan bantu Rohingya