Ini termasuklah skim cepat kaya, peraduan gores dan menang, penipuan scammer di laman-laman sosial dan penipuan me­lalui telefon yang melakukan penyamaran meminta sejumlah wang kononnya mangsa tidak membayar hutang atau saman, ini semua masih terus berlaku dan dilaporkan.

Akhbar Awang semalam dan hari ini pula mendedahkan peni­puan yang membabitkan data peribadi dan akaun bank orang lain. Ia digunakan dalam urus niaga dalam talian, jual beli kenderaan dan paling popular untuk mendapatkan pinjaman mudah. Diam tidak diam ramai yang sudah sengsara kerana menjadi mangsa. Sebabnya, mangsa dengan mudah menyerahkan maklumat diri termasuk Mykad dan butir-butir akaun bank kepada pihak lain.

Perlu diakui, apabila berlaku penipuan seperti ini, tidak banyak yang boleh dilakukan untuk menyelamatkan dan mengurangkan kerugian mangsa. Kecuali orang ramai sendiri perlu mempunyai kesedaran yang tinggi dan berhati-hati untuk tidak memberikan maklumat yang sangat sulit dan penting ini sewenang-wenangnya kepada orang lain.

Memang kita mempunyai undang-undang untuk menghukum penjenayah. Tetapi apabila sampai ke tahap itu, kerugian telah berlaku. Sengsaranya tidak dapat dibayar walaupun dengan menghukum pihak yang menganiaya. Segalanya terletak kepada tahap kewaspadaan kita.

AWANG – Mengelak kena tipu.