Dari segenap peringkat, baik raja, Perdana Menteri, pemimpin masyarakat hinggalah orang biasa, luahan hati mendoakan kesejahteraan arwah di alam baqa seolah-olah Muhammad Adib begitu dekat dan dikenali mereka.

Di sebalik kematian tragis Muhammad Adib, Awang amat berharap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dapat menambahbaik lagi Prosedur Operasi Standard (SOP) jabatan itu.

Insiden-insiden yang memerlukan sokongan dan bantuan bomba perlu cepat ‘dibaca’ oleh anggota-anggotanya.

Fokus bomba ke sesuatu tempat kejadian biasanya untuk memadam kebakaran rumah atau kenderaan, tetapi barangkali ‘gagal’ menganalisis situasi sekeliling seperti rusuhan di USJ25 Subang Jaya tempoh hari.

Nyawa penyelamat sama nilainya dengan pihak atau individu yang mahu diselamatkan. JBPM pastinya sudah ambil iktibar dari insiden semasa operasi menyelamat seorang remaja yang tergelincir sewaktu memancing di lombong di Puchong sebelum ini.

Operasi murni itu bertukar tragedi apabila enam penyelamnya yang terbabit dalam pencarian itu lemas akibat terbelit tali di dasar lombong.

SOP bukan sahaja JBPM malah agensi-agensi kerajaan yang lain perlu disemak dan diperkasakan. Semoga tiada pihak yang `menangguk di air keruh’ dari kematian Muhammad Adib.

AWANG - Sedekah al-fatihah.