Sebelum ini pun sudah macam-macam cerita yang timbul berhubung kedudukan Ahmad Faizal termasuk beliau didakwa ada masalah dengan exco-exconya, tetapi semua itu dinafikan oleh barisan kepemimpinan kerajaan negeri.

Awang tidak akan menuduh suara siapa serta siapa terlibat, tetapi apa yang pasti seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena di Perak. Pada pandangan Awang, macam ada pihak yang tidak berpuas hati dengan Ahmad Faizal.

Justeru Awang nasihatkan Menteri Besar Perak tersebut tidak memandang remeh gerakan seperti penularan rakaman audio itu. Kalau apa yang dikatakan dalam rakaman itu betul berhubung corak kepemimpinannya, perbaikilah. Yang mana beliau rasa ia sekadar tuduhan, biarkan sahaja.

Kesejahteraan rakyat Perak perlu diutamakan. Jangan seret mereka dalam pergolakan politik yang tidak berkesudahan. Lagipun Ahmad Faizal tidak perlu bimbang kerana exco yang dikaitkan dengan rakaman tersebut sudah menafikan itu suara mereka dan sudah menyatakan sebelum ini akan berdiri teguh bersama beliau.

AWANG - Dengar banyak cerita.