Tidak ada maknanya pihak kerajaan mengambil pelbagai inisiatif untuk membawa masuk pelaburan tetapi pada masa sama ada pula sekumpulan orang yang bertindak sebaliknya. Janganlah ekonomi dipolitikkan sehingga timbul persepsi buruk terhadap negara. Sektor pelancongan juga boleh terjejas.

Apabila pelabur menarik diri atau membatalkan hasrat mereka, kerajaan pula dipersalahkan. Kegagalan menarik pelabur akan dijadikan modal politik untuk mengkritik kerajaan. Pelabur tidak rugi apa-apa tetapi kesannya kepada rakyat tempatan amat besar. Peluang pekerjaan untuk menjana pendapatan akan terjejas.

Pelaburan bukan setakat meningkatkan hubungan dagangan tetapi juga diplomatik. Dalam hal ini adalah tidak wajar mana-mana pihak memburukkan negara sendiri khususnya di luar negara. Kepentingan negara harus diutamakan.

Awang juga berharap, semua pihak menghentikan pelbagai andaian berikutan kemasukan pelaburan dari China dan Arab Saudi. Sebelum ini pun, ada banyak pelaburan dari negara lain. Kita perlu mendekati rakan-rakan perdagangan baharu untuk sama-sama memacu ekonomi negara.

AWANG - Mencari kawan baharu.