Walaupun Awang tidak berminat bermain kutu tetapi Awang yakin ramai dalam kalangan rakyat negara ini sudah begitu biasa menyertai mana-mana kumpulan main kutu yang dianjurkan di tempat kerja atau rakan-rakan. Peserta akan menerima wang atau barangan tertentu mengikut giliran.

Jadi apa masalahnya? Inilah yang menjadi persoalan yang memerlukan penjelasan lanjut daripada JSJK. Ramai yang tidak sedar bermain kutu sudah lama salah di sisi undang-undang di bawah Seksyen 3 Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971.

Justeru, orang ramai perlu diberikan maklumat mengenai kesalahan bermain kutu dan risikonya. Menurut polis, terdapat beberapa kes penganjur atau ‘ibu kutu’ menghilangkan diri bersama wang peserta.

Bagi Awang apa saja yang melibatkan wang, semua pihak perlu berhati-hati. Wang adalah punca kepada banyak penipuan. Undang-undang pula dibuat sudah pasti untuk melindungi kepentingan awam. Jadi, pihak berkuasa wajar memberi penerangan dari semasa ke semasa agar jenayah main kutu dapat dibanteras sekali gus mengelakkan lebih ramai lagi kena tipu.

AWANG - Garu kepala tidak berkutu.