Mungkin kembalinya Tan Sri Muhammad Muhd. Taib ke dalam UMNO tidak dianggap begitu besar bagi sesetengah pihak. Beliau pernah menjadi Menteri Besar Selangor sebelum meninggalkan UMNO untuk menyertai Pas dan kemudiannya PKR.

Secara peribadi, Awang kenal, bekas Naib Presiden UMNO itu. Beliau mempunyai jiwa perjuangan Melayu yang cukup kental. Mungkin kerana semangat itu jugalah mendorong beliau kembali kepada parti induk orang Melayu tersebut.

Awang yakin kepulangan Muhammad sedikit sebanyak mampu membantu UMNO khususnya bagi merampas kembali Selangor yang kini berada di dalam genggaman PKR, selain memperkukuhkan lagi UMNO.

Bagi Awang, biarlah apa pun pemimpin-pemimpin Melayu pembangkang lain mahu kata berikutan tindakan Muhammad itu. Apa yang pasti sekurang-kurangnya beliau membuktikan tidak mahu terus menjadi salah seorang pemimpin yang bersekongkol dengan parti cauvinis seperti DAP dengan berada dalam PKR!

Awang – Selamat kembali, Tan Sri.