Kenyataan itu menyusul selepas pemandu teksi membantah cadangan yang mengaitkan pemilihan Grab bagi menyediakan perkhidmatan kepada pengguna MRT. Penjelasan itu agak lewat kerana isu tersebut dibangkitkan sejak seminggu lalu oleh Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Tony Pua.

Cadangan itu menyebabkan pemandu teksi berang dan pengguna tertanya-tanya kebenaran fakta itu. Jika bas perantara dihentikan, ia akan membebankan pengguna kerana kos bas lebih murah. Bagaimanapun jika harga ditawarkan teksi dan Grab berpatutan sehingga ke pintu rumah, maka cadangan itu merupakan satu penambahbaikan yang dialu-alukan.

Pengangkutan awam di kawasan bandar amat penting, bukan sahaja mampu mengurangkan kesesakan tetapi menjimatkan kos pengguna. Apa juga langkah yang mahu memudahkan pengguna perlu diutamakan bukannya dirumitkan.

Awang juga berharap, bagi mengelakkan salah faham, 'pihak yang berkuasa’ jangan terlalu ghairah mengeluarkan kenyataan tanpa merujuk pihak yang 'lebih berkuasa’. Kadang-kadang kenyataan walaupun sekadar cadangan dianggap suatu dasar. Akibatnya timbul kekeliruan dan kemarahan pelbagai pihak, seperti larangan merokok di Parlimen. Kekeliruan perlu diperbetulkan.

AWANG – Guna Grab ke MRT.