Sememangnya, Mohd. Nor Azrin dan rakyat Malaysia yang lain memerlukan sokongan dan doa kita semua. Itu sahaja yang boleh kita lakukan ketika usaha berterusan sedang dijalankan oleh kerajaan Malaysia bagi membawa mereka pulang.

Awang bersyukur ketegangan antara kedua-dua negara semakin kendur. Meja rundingan sudah dibuka bagi membolehkan segala ­krisis dan kemelut yang berlaku berikutan pembunuhan abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-nam pada awal Februari lalu diselesaikan.

Adalah diharapkan rundingan akan berjalan lancar sekali gus membolehkan Mohd. Nor Azrin dan rakyat Malaysia yang lain dapat kembali ke tanah air. Buat masa ini, Awang berpendapat, biarlah urusan itu dikendalikan oleh kerajaan. Tidak perlu ada mana-mana pihak mencetuskan apa-apa tindakan yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.

Awang yakin kerajaan Malaysia sudah cukup berpengalaman bagi menghadapi situasi ini dan sentiasa meletakkan keselamatan rakyatnya di luar negara sebagai keutamaan. Lagi pun tiada guna kedua-dua negara berbalah sedangkan jalan penyelesaian masih terbuka.

Awang – Terus berdoa.