Biarlah orang politik selesaikan masalah sesama sendiri atau pesaing mereka. Hari ini masuk Aidilfitri keempat, jenuh juga Awang layan makan ketupat dan rendang dengan ‘makanan politik’.

Waktu nak jamah di rumah terbuka seorang rakan semalam, ‘senak’ perut Awang mendengar beberapa tetamu yang asyik ‘membawang’ burukkan si polan itu ini. Daripada 10, tak sampai pun tiga yang betul.Pengalaman dan sejarah menunjukkan adalah mustahil semua manusia mempunyai pendapat yang sama.Kita boleh berbeza pendapat tentang politik serta menyokong parti yang berlainan. Namun keadaan ini tidak harus menyebabkan gelagat tidak bertegur sapa atau bermusuh sesama sendiri.

Dalam pertuturan, jagalah tutur kata supaya tidak menyinggung perasaan orang lain. Jauhilah kutuk-mengutuk atau melemparkan kata-kata kesat terhadap saudara seagama.Belajarlah bersikap toleran dan menghormati pandangan yang berbeza.

Buat orang Melayu, kita bersembahyang di masjid yang sama, bersalamanlah selepas solat dan doakanlah keselamatan antara satu sama lain serta saling bermaaf-maafanlah pada hari yang mulia ini.

Janganlah pula pertemuan yang berlaku sesekali ini dijadikan modal melanjutkan permusuhan, lebih-lebih lagi apabila dikaitkan dengan fahaman politik.

AWANG -Tebal telinga.