Mungkin kes ini boleh dianggap sebagai terpencil tetapi kesannya amat buruk jika ia merebak. Ketua keluarga sepatutnya melindungi anggota keluarga daripada terjebak gejala yang memusnahkan kehidupan ini. Jika sebuah keluarga tidak dapat dikawal bagaimana mahu melindungi masyarakat daripada dadah?

Peranan ketua keluarga amat penting. Jika ketua keluarga sudah terpesong bagaimana mahu mendidik keluarganya khusus­nya anak-anak yang masih muda? Sesuatu perlu dilakukan untuk melihat punca keluarga ini terlibat dalam penagihan dadah.

Kecewa, menganggur, kurang didikan agama dan pelbagai lagi boleh dijadikan punca mereka terjebak. Masyarakat harus lebih peka dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka. Jangan pandang sebelah mata sesuatu yang memudaratkan sedang berlaku.

Awang percaya, sikap ambil tahu bukan bermakna menjaga tepi kain orang. Sebaliknya itu adalah tanggungjawab untuk membetulkan kepincangan demi keharmonian sebuah masyarakat. Bertindaklah sebelum terlambat. Sikap tidak ambil peduli akan lebih memudaratkan. Dadah bukan sekadar memusnahkan hidup seseorang tetapi mampu mencetuskan pelbagai jenayah.

AWANG – Tidak lari daripada tugas.