Syukurlah projek ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan tekanan dan bebanan penduduk terutama yang sering berulang alik ke tempat kerja di ibu negara dan sebaliknya. Limpahan projek ini juga bukan sahaja dinikmati pengguna tetapi pelbagai pihak terutama golongan peniaga berhampiran stesen terlibat.

Seperti kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, MRT SBK menjadi titik permulaan kepada lebih banyak projek ‘infra-rakyat’. Besarlah harapan rakyat agar pengangkutan rel yang cekap seumpama ini dapat diperluaskan ke kawasan lain yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi.

Jalan raya dan lebuh raya yang menghubungkan Kuala Lumpur kini semakin sesak dan memerlukan alternatif yang tidak memberi tekanan kepada pengguna terutama golongan pekerja. Semoga impian untuk melihat sistem pengangkutan awam di Kuala Lumpur yang bersepadu se­penuhnya akan tercapai menjelang 2027.

Awang juga berharap, di samping meraikan kejayaan ini, semua pihak perlu berusaha menjaga perkhidmatan ini. Perbaiki kelemahan dan sentiasa tingkatkan mutu perkhidmatan supaya pengangkutan awam negara setanding dengan negara maju. Kepada pengguna, elakkan vandalisme, hargailah pelaburan tinggi pihak kerajaan untuk kemudahan rakyat.

AWANG - Sering guna pengangkutan rel.