Sememangnya inilah dilema atau masalah yang dihadapi oleh negara berpuluh-puluh tahun lalu, namun sehingga kini jalan penyelesaian masih belum ditemui. Sementara Awang memuji ketegasan dan kejayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras gejala pengedaran, namun usaha lebih holistik perlu dilakukan bagi mengelakkan bahan itu memasuki negara ini.

Persoalan yang masih bermain di fikiran kita ialah bagaimana bahan-bahan tersebut boleh dibawa masuk ke negara ini melalui penyeludupan. Bayangkan ada antaranya cuba diseludup melalui kontena, oleh itu di manakah silapnya?

Justeru Awang berpendapat, adalah wajar kerajaan menumpukan perhatian kepada penguatkuasaan di kawasan sempadan yang terlalu banyak kita dengar cerita tidak enak. Sempadan negara adalah salah satu benteng pertahan dan keselamatan negara, kalaulah ia begitu mudah dibolosi, apakah akan jadi kepada negara pada masa depan?

Oleh itu Awang berharap penyeludupan dadah perlu dibanteras habis-habisan bagi mengelakkan lebih ramai rakyat negara ini menjadi korban. Mereka yang didapati bersalah menjalankan kegiatan pengedaran dadah perlu dihukum seberat-beratnya termasuk hukuman mati. Tidak usahlah bercakap soal hak asasi manusia sedangkan pengedar dadah itu sendiri sudah merampas hak asasi manusia lain.

Awang - Benci dadah.