Sebelum ini banyak kempen kesedaran dilakukan bagi mendidik masyarakat membuang sampah dengan cara yang betul termasuk di kawasan rumah bertingkat atau flat. Televisyen juga menyiarkan iklan yang memaparkan sikap penghuni flat membuang sampah dari atas dan akhirnya terkena anggota keluarga sendiri.

Adakah sikap ini disebabkan tahap pemikiran masyarakat masih lagi rendah, penuh ego dan sukar menerima pandangan orang lain? Tidak dinafikan segelintir masyarakat bertindak tanpa memikirkan keselamatan orang lain disebabkan sikap kurang bertanggungjawab. Lihatlah bagaimana sampah dibuang sesuka hati dari kenderaan di jalan raya atau di tempat awam.

Awang sedih dalam kalangan masyarakat yang boleh dianggap maju dan bertamadun masih wujud sikap tidak mampu memikirkan kesan buruk terhadap orang lain. Mencampakkan sampah sesuka hati terutama dari tempat tinggi bukan sahaja mencemarkan kawasan tetapi mengancam keselamatan orang lain. Kesan­nya bukan sahaja terhadap kecederaan tetapi juga kematian. Amat malang, niat membuang sampah (walaupun kaedahnya tidak be­tul) boleh bertukar menjadi kes bunuh.

AWANG – Hidup biar beradab.