Langkah itu sudah tentu membuka peluang lebih luas kepada rakyat memohon rumah berkenaan terutama di kawasan bandar selepas mengambil kira kos sara hidup yang tinggi. Begitu juga manfaat hasil memendekkan tempoh tidak boleh jual rumah berkenaan dari 10 tahun ke lima tahun.

Komitmen kerajaan adalah setiap orang dapat memiliki rumah. Tidak perlu menyewa. Kos sewa bulanan itu sepatutnya digunakan untuk membayar pinjaman bagi membeli rumah sendiri. Tempoh penjualan balik yang dipendekkan akan memberi peluang kepada pemilik untuk menjual dan kemudiannya membeli rumah yang lebih selesa sesuai dengan peningkatan pendapatan isi rumah ketika itu.

Awang berharap kelonggaran seumpama ini bukan sahaja dapat memastikan setiap orang memiliki rumah sendiri yang lebih selesa termasuk mereka yang masih tinggal di kuarters kerajaan. Janganlah apabila bersara daripada pekerjaan, mereka masih menyewa.

Gunakanlah peluang yang disediakan oleh kerajaan ini dengan sebaik mungkin. Pada masa sama, kerajaan juga diharap tidak berkompromi dengan harga PR1MA RM270,000 berbanding RM470,000 untuk rumah yang ditawarkan oleh pihak swasta.

AWANG - Pernah menyewa flat