Walaupun sebelum ini mereka begitu mendabik dada menyatakan tidak akan menerima bekas pemimpin-pemimpin UMNO tetapi dalam politik segalanya berkemungkinan. Sebab itulah kita saksikan seorang demi seorang bekas pemimpin UMNO menyertai parti kerajaan dengan alasan yang memualkan iaitu demi rakyat.

Awang tahu parti-parti kerajaan terpaksa berbuat demikian bagi memperkukuhkan kedudukan masing-masing. Tiada cara lain untuk berbuat demikian selain daripada ‘menjilat ludah sendiri’ dengan menerima pemimpin UMNO yang sanggup mengkhianati parti sendiri demi kepentingan peribadi.

Adegan melompat parti ini akan berterusan memandangkan ada pemimpin UMNO sudah terpedaya lagi menjadi pembangkang selepas menikmati pelbagai keistimewaan ketika bersama parti induk orang Melayu itu.

Pada masa sama, tindakan itu juga menimbulkan perbalahan dalam Pakatan Harapan. Ada pemimpin yang menentang dan ada pemimpin yang menyokong. Masing-masing ada hujah tersendiri.

Apa yang pasti rakyat sedang memerhati. Mungkin ketika ini mereka tidak boleh menghukum ahli Parlimen yang belot atau pemimpin yang mungkir janji tetapi mereka pasti bertindak dalam pilihan raya umum akan datang. Sama-samalah kita tunggu.

Awang - Tak suka lompat.