Namun begitu seperti mana kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, negara tidak boleh berputus asa dalam memastikan gejala dadah sama ada dari segi pengedaran mahupun penagihan dapat dihapuskan sama sekali.

Atas sebab itu Awang bersetuju dengan pandangan beliau bahawa usaha memerangi dadah bukan sahaja terletak di bahu kerajaan tetapi juga melibatkan semua pihak termasuklah orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Bagi memastikan matlamat itu tercapai, Awang berpendapat sudah sampai masanya, buat sekian kalinya, kerajaan melancarkan kempen membanteras dadah habis-habisan. Suatu ketika kempen seumpama itu pernah dilakukan sehingga kerajaan mengisytiharkan dadah sebagai musuh nombor satu negara.

Oleh itu Awang berharap pendekatan sama boleh dilakukan bagi mewujudkan kesedaran dalam kalangan orang ramai untuk sama-sama bangkit memerangi gejala tersebut yang jika dibiarkan boleh memusnahkan masa depan negara.

Masa belum terlambat untuk kita mengatur langkah yang le­bih berkesan bagi memastikan dadah tidak terus menjadi ancaman kepada kesejahteraan dan keselamatan rakyat serta negara. Apa yang penting ialah usaha dan kesungguhan.

AWANG - Benci dadah.