Dalam politik, pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Kawan menjadi musuh dan musuh menjadi kawan. Apabila sudah berkawan, musuh lain pula akan mencari ruang untuk menggagalkan penyatuan yang membawa kebaikan.

Justeru, sebarang keputusan membentuk kerjasama ini perlu dibuat secara jujur dan ikhlas tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Awasi unsur-unsur jahat dari luar yang tidak mahu melihat senario politik berubah. Dalam hal ini juga Awang percaya, MCA sebagai salah satu parti komponen Barisan Nasional (BN) dapat memahami kerjasama itu.

Jika DAP pernah menerima Pas untuk menghadapi beberapa pilihan raya umum (PRU), tidak ada sebab MCA menolak. Apakah MCA lebih sanggup bersendirian atau membubarkannya untuk bersama DAP?

Awang percaya dalam merangka strategi PRU akan datang, kerjasama UMNO-Pas bukan sekadar menyatupadukan semula umat Melayu Islam tetapi juga melibatkan bukan Islam. UMNO dan Pas tidak pernah meminggirkan kepentingan bukan Melayu atau bukan Islam. Maka tidak ada alasan untuk menolak kerjasama ini hanya disebabkan UMNO dan Pas dilabel parti Melayu dan Islam.

AWANG - Buka babak baharu.