Ramai yang lebih berminat kepada janji 100 hari PH. Terserah kepada rakyat untuk menilai dan menghakimi apa yang berlaku. Pemimpin PH telah menjelaskan, manifesto bukan kitab suci. PH boleh meneruskan langkah melakukan apa yang terbaik.

Kepada BN, dalam tempoh 100 hari ini apakah yang berlaku selepas kehilangan kuasa mentadbir selama 60 tahun? Apakah masih ada harapan untuk bangkit semula? Persoalan ini lebih menarik berbanding mengira satu persatu janji manifesto PH.

Pengundi atau penyokong BN tidak harus dibiarkan ternanti-nanti apakah langkah untuk memulihkan keyakinan bukan mencipta masalah dalaman. Selepas kecundang, beberapa perkembangan termasuk di Sabah dan Sarawak telah menampakkan BN semakin ‘lemah’.

Sebagai tulang belakang BN, adakah UMNO sudah selesai muhasabah atau masih ‘berkabung’? Kepemimpinan UMNO sudah tentu mengambil langkah untuk membina semula keyakinan.

Awang percaya cabaran UMNO amat besar, tidak mampu di­selesaikan dalam tempoh 100 hari. Pemulihan bukan suatu kerja yang mudah. Semoga pemimpin UMNO lebih fokus untuk mencari jalan keluar kepada masalah, bukannya ‘keluar’ meninggalkan parti yang dianggap keramat itu.

AWANG - Masih menghitung hari.