Banyak yang berlegar dalam fikiran Awang. Bekas Pengerusi Felda ini dikenal sebagai seorang politikus yang lincah selain petah berpidato. Manakan tidak, bukan calang-calang orang mampu menjawat jawatan Menteri Besar selama 22 tahun selain pernah menjadi Naib Presiden UMNO.

Tidak terduga Isa, 68, yang begitu berpengalaman akhirnya terpaksa menempuh cabaran besar di penghujung kerjaya. Mengikut SPRM, mereka mempunyai bukti kukuh untuk mensabitkan Isa dengan dakwaan menyalahgunakan kedudukan dalam kes pembelian hotel di London.

Awang pun tidak mahu mendahului pihak pendakwaan mahupun mahkamah. Itulah yang dilakukan oleh UMNO, bukan seperti kes penahanan Exco Pulau Pinang, Phee Boon Poh yang terkesan ada tekanan politik sengaja digerakkan.

Penahanan Isa ini menggambarkan sikap SPRM yang tegas, berani dan tidak memilih bulu. Mengikut istilah umum, Isa dika­tegorikan sebagai jerung. Awang percaya tiada sesiapa sama ada jerung mahupun bilis, politikus daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang akan terlepas daripada radar SPRM.

AWANG – Terkesan dengan program Gerah