Pemimpin utama dua parti induk orang Melayu iaitu UMNO dan Pas dijadualkan berada sepentas bagi menyatakan bantahan terhadap sebarang usaha meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Oleh itu Awang berharap seluruh umat Islam akan bersama-sama di Pasir Salak bagi menjayakan Himpunan Perpaduan Ummah tersebut. Buat seketika, ketepikanlah segala perbezaan, bersatulah demi mempertahankan kepentingan orang Melayu dan umat Islam.

Apapun alasan, ratifikasi ICERD sama sekali tidak boleh dibenarkan. Usah terpedaya dengan 'jaminan’ kononnya konvensyen itu tidak akan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Soalnya, kenapakah baru sekarang membangkitkan soal ratifikasi tersebut? Apakah agenda sebenarnya? Kalau dikaji, seolah-olah ada satu 'tekanan’ mahu diberikan supaya apa juga cara ICERD harus diratifikasikan.

Justeru orang Melayu tidak boleh membiarkan ini berlaku. Mereka mesti bersatu walaupun ada dalam kalangan pemimpin Melayu yang mungkin sudah terhutang budi dengan kelompok tertentu menyokong ICERD.

Sesungguhnya penentangan kita bukanlah untuk berbalah dengan sesiapa tetapi bagi memastikan tidak wujud sebarang agenda yang akhirnya boleh menggugat kedudukan orang Melayu dan agama Islam.

Awang – Tetap bantah.