Arahan itu memang kurang ajar dan tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan serta mencabar kebebasan beragama.Adakah industri hotel akan menutup operasi sekiranya kerajaan pula meletakkan syarat untuk semua pekerja mengenakan tudung? Ketika itu apa pula komen masyarakat bukan Islam?

Agak pelik juga kenapa isu ini ditimbulkan sedangkan selama ini di Kelantan, tidak timbul masalah apabila semua pekerja wanita di semua sektor perniagaan diwajibkan bertudung. Diharapkan pihak industri menghormati pendirian kerajaan atau menghadapi tindakan tegas dengan menarik balik lesen untuk beroperasi de­ngan menggunakan undang-undang berkaitan.

Awang berharap, cadangan yang tidak masuk akal ini tidak timbul lagi kerana jelas bertentangan dengan Perlembagaan negara serta Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita. Bak kata peribahasa Melayu, Sudah terang lagi bersuluh. Ingin ditegaskan bahawa penghinaan dan diskriminasi seperti ini tidak boleh diterima.

AWANG - Ingat lagu Gadis Bertudung Putih .