Modus operandi sindiket itu ialah menyamar sebagai pihak berkuasa contohnya pegawai polis dan pegawai mahkamah. Si mangsa akan berasa takut apabila mereka didakwa ada kes jenayah dan untuk menyelesaikannya bayaran tertentu dikenakan.

Awang tidak mahu salahkan mangsa 100 peratus tetapi itu tidak bermakna mereka tidak bersalah langsung. Mereka sepatutnya berfikir dahulu sebelum mempercayai panggilan yang diterima.

Bagi memastikan orang ramai tidak terus menjadi mangsa Macau Scam, Awang mencadangkan polis mewujudkan talian khas bagi membolehkan orang ramai memeriksa rekod sama ada betul atau tidak mereka mempunyai apa-apa kes jenayah atau mahkamah.

Talian khas atau hotline itu boleh diwujudkan di semua ibu pejabat polis daerah (IPD) atau kontinjen (IPK) di seluruh negara dan beroperasi 24 jam. Ia sama seperti mana mereka boleh memeriksa sama ada mempunyai saman trafik atau tidak. Awang berpendapat ini adalah kaedah yang boleh difikirkan bagi membanteras Macau Scam – satu sindiket yang dilihat cukup bermaharajalela ketika ini.

AWANG – Tak layan panggilan tak dikenali.