Ternyata tragedi yang meragut nyawa Mejar Mohd. Hasri Zahari dan Mejar Yazmi Mohamed Yusof meruntun jiwa sesiapa sahaja. Ia memandangkan selain kedua-dua mereka terbunuh ketika menjalankan tugas untuk negara, kejadian itu juga berlaku ketika umat Islam mula membuat persiapan bagi menyambut Aidilfitri.

Bagi keluarga Allahyarham Mejar Mohd. Hasri dan Allahyarham Mejar Yazmi harapan untuk sambut 1 Syawal bersama-sama hanya tinggal impian. Awang sedih kerana kedua-dua mereka adalah juruterbang berpengalaman dan sudah tentu ini kehilangan besar kepada negara.

Apapun Awang berharap siasatan rapi dijalankan bagi menentukan punca nahas pesawat Hawk 108 tersebut. Awang sentiasa yakin dengan keupayaan Kementerian Pertahanan dan TUDM dalam perkara ini.

Awang mengucapkan takziah kepada ahli keluarga kedua-dua pejuang negara tersebut. Semoga mereka tabah menghadapi dugaan daripada Allah SWT dan mendoakan agar roh Allahyarham Mejar Mohd. Hasri dan Allahyarham Mejar Yazmi ditempatkan bersama-sama orang beriman dan beramal soleh.

AWANG - Al-Fatihah.