Selama ini, perkara yang sama juga dilakukan oleh wakil-wakil DAP dan PKR yang kini menjadi kerajaan. Semalam wajah-wajah mereka yang dulunya agresif nampak tenang apabila beberapa wakil pembangkang bangun membuat bantahan. Maka protes seumpama itu bukanlah luar biasa, seolah-olah diwarisi.

Bantahan juga bukan bermaksud menolak pelantikan Datuk Mohamad Ariff Yusof tetapi pencalonan itu didakwa tidak mengikuti Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat. Isu ini perlu dijelaskan supaya semua pihak khususnya wakil rakyat sebagai penggubal undang-undang mendapat gambaran yang lebih tepat.

Diharapkan, majlis pembukaan mesyuarat Parlimen hari ini berjalan lancar. Semua wakil rakyat perlu menunjukkan teladan yang baik. Jangan diulangi episod yang memalukan seperti yang pernah berlaku pada penggal-penggal yang lalu.

Awang percaya ramai yang ternanti-nantikan wajah sebenar Dewan Rakyat kali ini. Kepada wakil Barisan Nasional (BN), jadilah pembangkang yang konstruktif. Pakatan Harapan sebagai kerajaan pula perlu memberi kebebasan kepada wakil rakyat untuk bersuara dan berbahas. Buktikan mereka memperjuangkan prinsip keadilan seperti yang dijanjikan.

AWANG - Mahu bebas berkarya