Di mana mereka? Ketika negara di ambang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), mereka bakal terlepas peluang untuk menentukan corak kepemimpinan negara.

Sehingga suku ketiga 2017, jumlah pengundi berdaftar adalah 14.8 juta. Bagi tempoh tiga bulan terakhir tahun lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima 212,042 pendaftaran pemilih baharu dan 72,998 permohonan tukar alamat bahagian pilihan raya.

Kepada yang sudah mendaftar, pengundi baharu atau lama, tanggungjawab sekarang adalah untuk menyemak nama masing-masing sama ada tersenarai atau sebaliknya. Ambillah peluang ini yang mungkin semakan terakhir untuk membolehkan hak mereka mendapat kertas undi semasa PRU-14 nanti.

Diharapkan juga melalui semakan ini tidak timbul cerita karut mengenai pengundi hantu atau pengundi yang meninggal dunia kekal dalam senarai. Buatlah semakan sehingga 30 Januari ini.

Awang berharap, rakyat Malaysia yang terlibat dapat mengunjungi 961 tempat pameran Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi Suku Tahun 4/2017 atau layari sesawang SPR atau menerusi aplikasi My SPR Semak. Jika tidak puas hati, buatlah bantahan dan tuntutan. Parti-parti politik pula mungkin berpeluang me­ngenali pengundi-pengundi mereka. Jom semak.

AWANG - Nama masih dalam senarai.