Di luar musim, mereka ‘terbang’ menghilangkan diri atau jarang kelihatan. Dalam erti kata lain, kelawar hanya menunggu musim buah untuk memungut hasil. Ada wakil rakyat yang kelihatan kerap turun ke kawasan sejurus menang pilihan raya tetapi lama kelamaan semakin jarang kelihatan.

Mereka muncul semula apabila hampir musim pilihan raya. Wakil rakyat atau pemimpin politik seperti ini akan mendekati penduduk dengan satu matlamat untuk mendapatkan undi. Mereka juga cuba memberi harapan baharu kepada penduduk.

Ada yang berlagak pandai menyalahkan orang itu dan ini seolah-olah selama ini merekalah yang mengambil berat masalah penduduk. Hakikatnya mereka sedang mencari undi. Justeru, pengundi-pengundi perlu lebih bijak membuat pilihan. Mereka lebih tahu siapa yang tiba-tiba muncul dan siapa pula yang mengambil berat masalah setempat walaupun tanpa jawatan.

Awang sedar ada pengundi yang tidak mengenali wakil rakyat mereka. Kehadiran mereka juga mungkin tidak dinantikan. Cukup kelihatan sekali-sekala kerana kepesatan pembangunan di kawasan berkenaan yang tidak banyak masalah. Bagaimanapun di luar bandar amat memerlukan wakil rakyat yang sentiasa mendampingi penduduk, bukan muncul secara bermusim sahaja.

AWANG – Cari harumanis di Kuala Perlis.