Puncanya adalah disebabkan harga barang makanan. Hakikatnya, semua orang tanpa mengira pendapatan terpaksa berbelanja lebih bagi menghadapi inflasi barang makanan. Bezanya, mereka yang berpendapatan lebih mungkin agak selesa atau berhadapan masalah yang sama disebabkan perubahan gaya hidup.

Laporan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) menunjukkan kumpulan berpendapatan di bawah RM2,000 membelanjakan 94.8 peratus dari pendapatan mereka untuk barangan pengguna, berbanding 91.1 peratus pada tahun 2014.

Berikutan kadar inflasi harga makanan yang tinggi, baki pendapatan dijangka akan terus berkurangan pada tahun-tahun berikutnya. Jika baki sekecil itu, bagaimana mereka mahu menabung untuk masa hadapan?

Kerajaan perlu melakukan sesuatu bagi membantu mengurangkan beban golongan ini. Ramai yang terpaksa melakukan kerja sampingan bagi menambah pendapatan.

Awang percaya kerajaan akan mengambil pelbagai langkah bagi mengurangkan harga barang supaya rakyat tidak terbeban. Kos sara hidup perlu dikurangkan. Semoga Bajet 2019 tidak meminggirkan golongan berpendapatan rendah lebih-lebih lagi setelah beberapa insentif atau bantuan yang diperoleh sebelum ini dihentikan atas alasan kekangan kewangan.

AWANG - Belajar berjimat.