Begitu juga dengan kesetiaan tetapi bukannya setia secara buta tuli. Jangan setia kerana mahu menjaga kedudukan sendiri atau majikan sehingga menggadaikan nilai-nilai itu dengan bersikap ampu atau bodek. Sikap sedemikian boleh memakan diri sendiri, merosakkan pemimpin dan meruntuhkan institusi.

Justeru berhati-hatilah ketika menjalankan tugas supaya tindakan yang dilakukan tidak melampaui batasan undang-undang. Berani menegur dan mengkritik untuk kebaikan, bukannya ‘takut’ berbuat demikian sehingga membawa kepada kehancuran. Ja­ngan sokong bawa rebah atau sudah terantuk baru tengadah.

Bagi penjawat awam khususnya, mereka perlu mematuhi arahan yang tertakluk di bawah dasar-dasar kerajaan. Mereka harus memahami tugas dan tanggungjawab masing-masing dan melaksanakan tugas dengan cekap dan berkesan. Abaikan jika arahan itu terkeluar daripada landasan undang-undang.

Awang berharap, setiap pekerja membuang sikap mementingkan diri, berat sebelah, khianat dan hasad dengki ketika membuat keputusan. Ingatlah, bekerja bukan sekadar untuk mendapat upah bulanan tetapi harus melihat kepada tanggungjawab kepada majikan sama ada kerajaan atau swasta.

AWANG – Tidak pandai mengampu.