Apa pula sumbangan pesara? Ingatlah setiap tahun kerajaan memperuntukkan RM20 bilion bagi golongan pesara ini dan jumlah itu akan terus meningkat. Justeru, jadikanlah ‘ketaatan’ sebagai sumbangan selepas bersara. Ketaatan tidak bermakna pesara perkhidmatan awam tidak boleh berbeza pendapat atau memberi pandangan yang bertentangan dengan dasar kerajaan.

Tidak dinafikan ada kakitangan awam yang sebaik sahaja bersara akan mempamerkan ‘keburukan’ kerajaan atau organisasi yang pernah menjadi lubuk rezeki mereka. Walaupun tidak semua tetapi itulah realitinya. Tetapi kritikan itu biarlah dengan adab.

Kepada 778,894 orang pesara yang sedang menikmati pelbagai kemudahan ini, hargailah organisasi yang pernah dan akan terus memberi ‘makan’ kepada mereka. Kerajaan tidak pernah melupakan golongan pesara ini.

Awang sedar, setiap tahun ada sahaja faedah atau khabar gembira bagi golongan yang berpencen termasuk warga emas. Cuba bayangkan kehidupan pesara yang tidak mempunyai pencen bulanan. Bersyukur dan berterima kasihlah kepada tangan yang memberi, bukannya ‘menggigit’ sehingga boleh melukakan.

AWANG – Tidak ada wang pencen